Latest Novels :
TOP5 NOVEL PILIHAN KAMI - 21 JAN 2013 ----------[01] Aku Bercerita ----------[02] Ops! Zulaikha ----------[03] I Love You Cikgu ----------[04] Amar Farish ----------[05] Sumbat
Selamat Datang

Sedetik Asmara


Penulis: Sarnia Yahya

Cebisan cerita:

HAMPIR setengah jam dia mundar mandir di hadapan bilik isterinya. Tangannya sesekali merasa pipi yang sudah hilang pijarnya kerana tamparan wanita, Amylia. Dia tersenyum sendiri sambil mengusap lembut bibirnya kemudian  menggigit bibir bawahnya. Kemudian memandang pintu bilik Amylia yang bertutup sambil bercekak pinggang.
“Amy, Amy...” panggil Reza sambil mengetuk pintu bilik yang di duduki oleh ‘isteri’nya. “Abang minta maaf,” pintanya.
“Abang jahat, tau tak! Abang jahat!” jerit Amylia dari dalam.
“Ya, abang memang jahat,” akui Reza lemah sambil terus bersandar di pintu bilik Amylia.  
Begitu pun dia tidak kesal dengan apa yang dilakukan sebentar tadi. Bibirnya mengulum senyuman sendiri. Masih terasa bibir Amylia di bibirnya. Hmm... akal nakal menyalar cuba mencari idea untuk mengenakan si isteri sekali lagi.
“Keluarlah kita bincang balik. Kalau macam ni sampai bila pun tak selesai,” pinta Reza separuh bersungut dengan situasi yang semakin tidak menentu. Dia kemudiannya menyandarkan tubuh di dinding bersebelahan pintu bilik Amylia.
“Amy tak mahu bincang-bincang lagi. Kita dah patut berpisah hari ni, abang tahu tak?” kata Amylia kuat dari dalam sana.
Reza senyap sambil melepaskan nafasnya. Bagaimana untuknya memberitahu Amylia apa yang dirasakan kini. Perasaan terhadap Amylia memang sama sekali kosong. Melihatkan sikap Natasha semalam membuat dia kembali berfikir semula.
“You nak suruh I berhenti kerja dan duduk rumah?” terjegil biji mata Natasha mendengar rancangan Reza.
“Kenapa?” Reza sudah bercekak pinggang memandang cinta hatinya.
“Oh, tolonglah Reza! I tak suka hidup terkongkong macam katak bawah tempurung, tau. I perlu keluar dan sesekali berjumpa dengan kawan-kawan,” jelas Natasha dengan tangan yang sudah merewang ke sana ke mari.
Reza berdengus kasar. Bukan dia tidak tahu yang Natasha akan menjadi tidak sedar diri apabila bertemu dengan teman-temannya. Teman-temannya itu bukan dari kalangan yang boleh menjadikan gadis itu bertambah baik, tetapi bertambah teruk. Itulah yang paling dibimbangi.
“Tasha, bila you dah berkahwin. You dah ada tanggungjawab dan dah tak boleh bebas macam dulu,” tekan Reza sedikit keras.
“Haa... takkan sesekali nak enjoy dengan kawan-kawan pun tak boleh,” bentak Natasha geram.
“Tak boleh!” bentak Reza. “Bila you dah jadi isteri I. You kena minta kebenaran dari I, faham tak!”
“Kenapa kolot sangat fikiran you ni, Reza. Dulu tak macam ni?” Natasha sudah bercekak pinggang memandang Reza.
“Memang I kolot dalam perkara macam ni. Kita ni orang islam bukannya mat saleh, faham?” tengking Reza bengang.
Natasha senyap dan hanya memberikan jelingannya. Tangan sudah berlipat di dada. “Habis, you nak suruh I memasak, membasuh semua tu lah, ya?”
“Berdosa ke buat kerja-kerja macam tu?” balas Reza bengang. Dia tahu Natasha sengaja hendak menaikkan kemarahannya.
“Oh... tolonglah Reza, itu bukan kerja-kerja I, okey.”
“Habis kerja siapa? I? Kita buatlah sama-sama.” Itulah yang dilakukan ketika bersama Amylia sepanjang mereka ‘hidup’ bersama.
“Kita ambil orang gaji,” cadang Natasha dengan wajah ceria.
“Tak. I tak mahu ada orang asing dalam rumah I.” Reza menggeleng-gelengkan kepalanya. “Masakan you nak suruh I makan masakan orang gaji. You isteri I dan you yang sepatutnya memasak untuk I!” nyaring suara Reza.
No, no, no... itu bukan kerja I. Penat tau balik kerja.”
“Tapi Amy juga bekerja dan dia masih boleh memasak sarapan dan makan malam untuk I, membasuh, gosok, semua kerja rumah dia buat,” tegas Reza tidak puas hati dengan rancangan Natasha. Tidak pernah dia mendengar Amylia merungut dengan kerja rumah yang banyak
“Itu Amy dan I bukan Amy, okey,” balas Natasha.
Reza menggeleng-gelengkan kepala. Matanya beralih kepada pintu bilik yang berkeriut kerana dibuka daripada dalam. Kelihatan mata bundar milik Amylia dicelahan pintu. Gadis itu kelihatan begitu comel dengan reaksi sebegitu.
Reza senyum. Memang dia berasa amat berat untuk melepaskan Amylia. Gadis itu memenuhi ciri-ciri seorang isteri yang diinginkan dan bukan seperti Natasha, cinta hatinya yang telah dikenali sejak 10 tahun yang lalu.
Patutlah, Puan Amina beria-ia hendak bermenantukan Amylia. Natasha langsung tidak mesra lama dengan ibunya seperti Amylia yang memang mesra dan langsung tidak kekok kalau mereka ke rumah orang tuanya. Natasha pula amat berat hendak bertemu orang tuannya.
“Amy nak balik rumah sewa,” kata Amylia.
“Duduklah sini,” rayu Reza lembut.
“Kenapa?” soal Amylia bengang. Perlukah diulang sekali lagi apa yang sudah dirancang oleh Reza sebelumnya.
“Perlu ke abang cakap?” soal Reza pula.
“Kita dah tak ada apa-apa, bang. Tolonglah...” rayu Amylia sudah tidak tahan dengan situasi itu. “Amy nak ke rumah ayah. Lusa Amy nak ke JB,” tegas Amylia dengan suara yang sedikit tinggi.
“Apa?!” terkejut dia mendengar penjelasan Amylia.
Bunyi loceng yang bertalu-talu ditekan dari luar mengalihkan pandangan Reza ke tingkap. Begitu juga Amylia yang melebarkan sedikit pintu biliknya.
“Tunggu! Kita kena bincang, balik!” tegas Reza sedikit keras. Dia segera melangkah meninggalkan Amylia di situ.
Amylia berdengus kasar. Nak bincang apa lagi! Jerit hatinya.

KAGET dia melihat Natasha di luar pagar rumahnya. Dia sudah dapat mengagak akan kedatangan cinta hatinya di situ. Dia menggaru-garu dahinya yang sudah berpeluh. Dan sekali lagi bunyi loceng memenuhi segenap ruang di dalam rumah itu. Akhirnya dia membuka pintu rumah dan melangkah ke pagar.
“Kenapa you off handphone?” soal Natasha garang sebaik Reza berdiri di hadapannya dan dihalangi pintu pagar yang berkerawang. Dia hanya dapat bercakap dengan Reza sekali pagi tadi sebaik mendengar keputusan lelaki itu. Hatinya bagai hendak meletup.
“Sebab tak ada apa yang I nak cakap,” balas Reza selamba.
“Tak ada apa yang you nak cakap?!” Natasha tidak dapat menahan suaranya. “Apa ni Reza? Apa semua ni?” melengking suara Natasha memecah suasana yang agak sepi di kawasan itu.
Reza senyap. Entah berapa kali nafas dihelakan. Tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Natasha apa yang dirasakan kini. Ya, apa yang dirasa disaat ini? Aduhai, payahnya bila hati mudah beralih arah dan kini situasi semakin tidak tentu arah.
“I belum bersedia lagi.”
“Apa?!” hampir terjegil biji mata Natasha. “Apa you cakap ni?” jerit Natasha tanpa rasa malu pada jiran Reza yang sedang memandang mereka. “Kenapa tiba-tiba you buat keputusan ni?!” soal Natasha keras.
“I rasa, I dah bersikap tak adil pada Amy,” jelas Reza dan itu adalah suku daripada apa yang dirasakan dan sebahagiannya biarlah dia sahaja yang tahu.
“Habis? Adilkah pada I?!” balas Natasha geram. Badannya terasa hangat dan tangannya sudah menggeletar.
“Kita bincang balik.” Dia sudah tidak tahu ayat apa yang patut diberikan kepada Natasha lagi.
“I tak mahu bincang, bincang lagi. I nak jawapannya sekarang dan sebagaimana rancangan kita hari tu!” tegas Natasha sambil menggocang pintu pagar itu menandakan yang dia benar-benar geram dengan rancangan yang tidak berjalan seperti yang dirancangkan sebelumnya.
Reza meraup rambutnya. Tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya kini. Padan dengan muka! Cemuhnya sendiri. Inilah akibatnya apabila merancang sesuatu yang tidak baik!
“Baiklah, I bagi you satu hari lagi aje, Reza. Satu hari lagi untuk you fikirkan perkara ni,” kata Natasha selepas suasana sepi seketika.
Reza senyap.
“Bila dia nak keluar dari sini?” soal Natasha yang sudah bercekak pinggang. Matanya liar memandang kepada kereta Myvi hitam Amylia yang terpakir cantik bersebelahan Toyota Harrier hitam milik Reza.
“Kenapa pulak I nak suruh dia keluar?”
Bulat mata Natasha mendengar kata-kata Reza.
“Reza, I tak mahu dia ada di sini untuk sehari lagi!” lantang suara Natasha yang seolah-olah tidak dapat menahan perasaan marahnya. Hatinya semakin terbakar. Reza seolah-olah tidak mahu melepaskan Amylia. Itulah yang dapat dilihat sekarang.
“Apa hak you nak menghalau Amy? Dia masih isteri I. Dan dia akan tinggal di sini selagi I perlukan dia, faham tak?!” balas Reza dengan rasa marah. Tangannya sudah berada dipinggang merenung tajam ke wajah Natasha.
Ternganga mulut Natasha sebaik mendengar kata akuan Reza secara tidak langsung. Begitu pun dicuba untuk tidak mempercayainya.
“Amy yang hasut you kan?”
“Jangan libatkan dia.”
“Habis tu? Kita dah rancang semua ni, Reza!” jerit Natasha tanpa rasa malu lagi. Matanya beralih kepada Amylia yang sudah berada di muka pintu rumah. “Amy!” jeritnya. Mahu sahaja dia menerkam Amylia yang terhedap-hedap keluar dari pintu menuju ke keretanya.
Reza berpaling dan dilihat Amylia sudah masuk ke dalam kereta bersama beg pakaian. Reza bergegas mendapatkan Amylia untuk menghalang ‘isteri’nya daripada keluar dari situ. Tetapi agak terlambat. Amy sudah pun berada di dalam kereta dan mengunci dirinya di dalam.
“Amy! Bukak pintu ni!” jerit Reza sambil menumbuk kuat cermin tingkap kereta Amylia.
Amylia hanya memandang dan terus mengundurkan keretanya sebaik pintu pagar otomatik itu terbuka. Sempat dia mencampak alat kawalan pintu pagar ke jalan sebelum meluncurkan keretanya meninggalkan suami dan kekasih hati Reza di situ.
“Amy!” jerit Reza sebaik kereta Amylia meluncur laju meninggalkannya di situ.
“Hmm... selesai satu masalah.” Natasha ketawa sinis melihat situasi itu. Memandang Reza yang bercekak pinggang memandang kereta Amylia yang sudah tidak kelihatan dipandangan mereka.
“Ya... dan kita dah pun selesai,” tingkah Reza lalu menekan alat kawalan pintu pagar yang dicampak oleh Amylia tadi. Dia melangkah meninggalkan Natasha.
Sekali lagi mulut Natasha ternganga mendengar kata-kata Reza yang tidak disangka-sangkakan.
“Reza! Reza!” jeritnya tetapi Reza sudah tidak kelihatan sebaik pintu rumah bertutup. 




KAMI tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial atau blog ini di bawah Akta 114A Keterangan 2012. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Setiap yang menghantar komen dan pendapat dengan ini telah bersetuju dengan TERMA DAN SYARAT kami.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Review NOVEL MALAYSIA
Copyright © 2013. Review | Novel Malaysia - All Rights Reserved
Published by Novel Malaysia
Proudly powered by Blogger